PKPD di Kedah tak jejas keyakinan pelabur


 Alor Setar: Kedah dijangka tidak berhadapan masalah memastikan pelabur terus kekal di negeri ini, walaupun berhadapan pandemik Covid-19 yang mengakibatkan beberapa kawasan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Kedah kekal menjadi lokasi tarikan pelabur apabila menerima beberapa pelaburan langsung domestik (DDI) membabitkan nilai RM3.06 bilion baru-baru ini.

"Kita tidak nafikan pelaburan langsung asing (FDI) turut terjejas seperti yang berlaku di seluruh negara selepas pintu sempadan ditutup bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

"Namun kerajaan negeri tetap berusaha menarik lebih ramai pelabur tempatan melabur dalam projek berimpak tinggi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, Kedah menerima pelaburan lebih RM3 bilion membabitkan projek di Kedah Rubber City (KRC), Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan perhotelan di Langkawi yang menawarkan 1,700 peluang pekerjaan baru.

Pelaburan itu diterima daripada tujuh syarikat tempatan yang akan turut melaksanakan dua projek berimpak tinggi.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan berusaha membantu penduduk yang terjejas susulan pelaksanaan PKPD Secara Pentadbiran di Kota Setar sehingga 25 September ini.

Katanya, ini berikutan beberapa pakej rangsangan yang diumumkan Kerajaan Pusat sebelum ini sudah tidak diteruskan menyebabkan kerajaan negeri bergantung sendiri.

"PKPD Secara Pentadbiran yang dilaksanakan membabitkan seramai 366,787 penduduk selepas tercetusnya Kluster Sungai dan Telaga, kerajaan negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengenal pasti jumlah penduduk yang terjejas sebelum bekalan makanan diagihkan.

"Pelaksanaan perintah ini menyebabkan ekonomi mikro isi rumah terjejas, tambahan pula apabila ia membabitkan jumlah penduduk yang ramai namun kita perlu akur agar tidak berlaku rantaian penularan yang lebih besar sekali gus turut memberi kesan besar terhadap ekonomi penduduk tempatan," katanya.